ah Taala:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ (الأنبياء: 107)
“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad SAW), melainkan dengan menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (al-Anbiyya: 107)

Bagi merealisasikan “Rahmat Kepada Seluruh Alam”, mesej yang diutuskan oleh Allah daripada kedatangan Nabi Muhammad SAW kepada dunia akhir zaman, dunia tanpa sempadan, dunia yang paling majmuk, maka Allah SWT telah menetapkan hala tuju kepada perjuangan Islam. Hala tuju yang ditetapkan oleh Allah SWT, tidak tamat dengan wafatnya Rasulullah SAW. Di sana terdapat ketetapan Allah menyatakan hala tuju kepada perjuangan Islam seluruhnya. Firman Allah Taala:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ( الصف: 9 )
“Dialah Tuhan yang telah mengutuskan Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW), dengan hidayah petunjuk dan agama yang benar, untuk memenangkannya dan mengatasi segala ajaran (sama ada agama atau idealogi) walaupun dibenci oleh orang-orang Musyrik.” (as-Saff: 9)

Tegas, Islam mesti mengatasi segala yang lain dan mesti dimenangkan. Di sini hala tuju yang diutuskan oleh Allah SWT. Firman Allah Taala:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ( النور: 55 )

“Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad SAW) bahawa Dia akan menjadikan kamu orang-orang yang memerintah (negara) sebagaimana dikurniakan kepada orang-orang yang sebelum mereka dengannya. (Dikala itu) Dia (Allah) jadikan mereka (yang mengajak bersama dengan agama Islam yang diredhai-Nya) berkuasa, lalu menukar keadaan ketakutan kepada keamanan dalam keadaan mereka memperhambakan diri kepada-Ku dan mereka tidak menyekutui-Ku dengan sesuatu yang lain. Dan sesiapa yang kufur setelah itu, mereka itulah orang-orang yang fasik.” (an-Nur: 55)

Tegas-Nya, mesti menegakkan negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ(40) الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ (41) ( الحج: 40-41)
“Sesungguhnya Allah, mesti menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (yakni Islam) Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha berkuasa. Mereka yang Kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi, mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik, dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah sahaja yang membalas segala urusan.” (al-Hajj: 40 & 41)

Tegakkan objektif negara ini, ialah negara ‘ibadah’ bukan negara ‘jibayah’ negara yang tegak di atas mengabdikan diri kepada Allah, bukan tegak di atas cukai, di atas pendapatan kebendaan semata-mata, (tetapi) yang tegak di atas keberkatan ibadah, yang berkonsepkan ekonomi Islam yang adil dan kedaulatan undang-undang dan berwawasan hari akhirat. Di sana, hasilnya ialah sunnah Rasulullah SAW. Yang pertama, sabda Nabi SAW, apabila dikemukakan tawaran oleh Abu Talib bapa saudaranya, di saat yang sangat genting. Apa sabdanya?

والله لو وضعوا الشمس في يميني ، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يظهره الله ، أو أهلك فيه ، ما تركته
“Demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di (tangan) kiriku, supaya aku meninggalkan urusan menegakkan Islam atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak akan meninggalkannya.”

Ini ketegasan dalam perjuangan dari segi akidah, dasar dan hala tuju.

Pelaksanaan Piagam Madinah

Ketika ditegakkan Negara Islam di al-Madinatul Munawwarah di antara ayat penting dalam Piagam Madinah:
وأنه ما كان بين أهل هذه الصحيفة من حدث أو اشتجار يخاف فساده فإن مرده إلى الله وإلى محمد رسول الله (صلى الله عليه وسلم)
“Sesungguhnya segala perkara dan pertelingkahan yang berlaku di kalangan semua pihak yang terlibat dalam piagam ini yang dibimbangi boleh merosakkan, hendaklah dirujuk kepada Allah dan Muhammad SAW.”

Ini di saat orang Islam minoriti, bukan majoriti. Mengikut sejarahnya, pada awal negara ditegakkan itu, orang Islam adalah minoriti, di mana rakyat bukan Islam (iaitu) Yahudi, Bani Qainuqa’, Bani Nazir, Bani Quraizhah, Kristian dan orang-orang musyrikin, dicampur dengan orang Munafiq, dicampur semuanya maka orang Islam adalah minoriti. Pada masa yang sama, Islam menghadapi cabaran kepungan di peringkat nasional kabilah-kabilah Arab dan kuasa-kuasa besar dunia. Di sini penegasan dalam akidah, matlamat dan hala tuju.

Perlembagaan PAS Fasal 5; Tujuan PAS

1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksananya di dalamnya, nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
2) Mempertahankan kesucian Islam, serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Perlembagaan PAS Fasal 7 & 8

Menegaskan hukum dan kekuasaan Kitab Allah, Sunnah Rasul, Ijmak dan Qias

Semua perkara-perkara tersebut sangat kukuh memelihara akidah perjuangan, dasar dan hala tuju Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di atas landasan istiqamah. Adapun pelaksanaan bagi melaksanakan agenda perjuangan, ada dua aspek yang ditunjukkan oleh fekah, dakwah dan politik yang tidak boleh dipisah antara satu sama lain.

Yang pertama, Thawabit; perkara yang tetap dan teguh, tidak boleh menerima perubahan sekali-kali.

Yang kedua, Mutaghaiyirat; perkara yang menerima berubah.

Thawabit, yang tetap tidak boleh diubah sekali-kali; akidah perjuangan, dasar dan hala tuju perjuangan yang berpandukan nas-nas tersebut di atas dan ijtihad yang menjadi keputusan syura.

Satu ijtihad yang sudah menjadi keputusan syura mesti diterima oleh ahli-ahli dan pengikut. Sama ada syura Jawatankuasa PAS Pusat, syura Harian ataupun syura Muktamar, termasuk syura Kawasan dan mengikut kedudukan masing-masing. Berpandukan Firman Allah Taala:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
“Dan bermesyuaratlah dengan mereka (dalam mengendalikan urusan) maka berazam (yakni mengambil keputusan) dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal.” (Ali-Imran: 159)

Keputusan berpandukan dengan hujah yang lebih kuat, atau pendapat majoriti. Contohnya dalam peristiwa Badar, memilih pandangan majoriti keputusan antara Muhajirin dan Ansor, sebab Nabi mendengar pandangan Muhajirin dan Ansor. Uhud, juga mengikut pandangan majoriti. Hudaibiyyah mengikut hujah paling kuat, walaupun majoriti tak bersetuju dengan pemilihan, pandangan, keputusan Nabi SAW.

Juga di zaman Rasulullah SAW dan beberapa peristiwa di zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin RA, pendapat yang kuat hujahnya diterima walaupun oleh seorang yang dianggap kecil. Contohnya, dalam peristiwa Badar, apabila seorang Sahabat yang berpengalaman Badar, yang tahu kawasan Badar membuat cadangan supaya memindah markas besar operasi perang Badar. Walaupun dia seorang Badawi, tapi pandangannya kuat, maka Nabi membuat keputusan untuk memindah markas, tak perlu suara majoriti.

Yang kedua, Mutaghaiyirat, perkara tahaluf siyasi persefahaman politik, isti’anah meminta pertolongan dengan orang lain, uslub, strategi dan cara dilaksanakan, ditolak dan dibatalkan sama ada kerana apabila bercanggah dengan akidah, dasar dan matlamat, tidak mematuhi syarat-syarat dan janji, tuntutan syura as-siasah syariyyah dan maqasid syariah jadi iktibar oleh syarak, itu boleh berubah.

Senario PAS & Gerakan Semasa

Sejarah PAS memberi senario yang panjang:

• Tahun 1951 PAS bersama dengan Umno menentang penjajah, menyertai Persidangan Afro Asia di Bandung, Dr Burhanuddin mengetuai delegasi dan Sa’adon Zubair wakil Umno ikut sama;
• tidak bersama dengan perundingan kemerdekaan dan pemerintahan kerana perbezaan akidah perjuangan, dasar dan hala tuju. Bila Pilihan Raya 1955, bertanding kalah kerana berbeza dasar dan hala tuju, PAS bertanding menentang Umno dan gabungan Perikatan (sebelum kemerdekaan);
• Selepas kemerdekaan tahun 1959, 64, 69, 74, 79, 82, 84, 90, 95, 99, 2004, 2008, 2013, bertanding melawan Umno dalam Barisan Nasional;
• Kerajaan Campuran, bersama Perikatan tahun 1970 dengan keputusan Dewan Ulamak dan Muktamar Khas dengan syarat-syarat yang tidak terikat dengan disiplin dalam Perikatan. PAS boleh menjadi pembangkang dalam Perikatan;
• Bersama Umno menubuhkan Barisan Nasional dengan keputusan AJK PAS Pusat, tanpa muktamar dan terikat dengan disiplin BN, berbeza dengan Kerajaan Campuran tahun 1970;
• Selepasnya PAS dipecat daripada BN kerana menentang usul darurat Kelantan oleh BN, yang dikenakan tindakan disiplin kerana tidak ikut keputusan BN, diambil tindakan disiplin. Sebab-sebab dan pengaruh Islam berkembang dalam jentera kerajaan tahun 1970 dan 1974, selain krisis politik dalaman PAS dan BN;
• Bertahaluf dengan NGO bukan Islam (CCC) tahun 1986. Bertahaluf dengan Semangat 46 pada tahun 1990 hingga 1995 (Angkatan Perpaduan Ummah) berkonsep Islam sebagai Ad-Din. Tahun 1999 bertahaluf dengan PKR, DAP dan Parti Rakyat (Barisan Alternatif). Tahun 2000, DAP keluar kerana ketegasan PAS terhadap konsep Negara Islam. Tahun 2004 bertahaluf di atas nama Pakatan Rakyat, bertemakan menentang kezaliman dan Negara Berkebajikan. Tahun 2014 DAP membuat keputusan memutuskan hubungan bersama PAS beralasan proses Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan lain-lain.

Istiqamah

Ayat ini berkait dengan istiqamah dan ciri-ciri yang perlu dijaga dalam di dalam istiqamah. Jangan istiqamah sahaja tanpa ciri-ciri yang perlu dijaga dalam istiqamah.

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (112) وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (113) وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ (114) وَاصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (115(
“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Hud: 112 -115)

Ini adalah sifat-sifat istiqamah yang perlu dijaga. Bukan sahaja istiqamah, teguh di atas perjuangan, mesti sabar. Jangan cenderung terpengaruh dengan orang zalim, jangan melampaui batas, tidak boleh. Mesti ada hubungannya dengan Allah Taala, sembahyang. Jangan istiqamah sahaja sembahyang tidak, hubungan dengan Allah SWT tidak kuat, mesti beristiqamah.

Allah Taala menegaskan strategi yang dilaksanakan bersama istiqamah, Firman Allah Taala:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (33) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (35) وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (36(
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Fussilat: 33 – 36)

Bukan takut-takut nak nyatakan Islam, berani nyatakan Islam, ini diamkan Islam. Jangan cakap pasal negara Islam, ini tidak betul dengan istiqamah.

Kerana perjuangan Islam untuk menyelamatkan manusia seberapa ramai, nak mengajak manusia seberapa ramai dengan cara yang damai bukan nak menghambat manusia, bukan nak bunuh manusia, nak hapuskan manusia. Nak selamatkan manusia seberapa ramai dengan cara yang sedamai-damainya, ini perjuangan Islam.

Contohnya, sifat yang mulia ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, apabila Khalid Bin Al-Walid yang menggempur tentera Islam di dalam peperangan Uhud, bertukar menjadi ‘Pedang Allah’ yang menumbangkan Parsi dan Rom. Suhail Bin Amar, wakil Musyrikin yang keras dalam perjanjian Hudaibiyah menjadi tokoh yang menyelamatkan penduduk Makkah dari fitnah murtad kerana kewafatan Rasulullah SAW.

Kita baca dalam perjanjian Hudaibiyyah, bila Saiyidina Ali tulis Muhammad Rasulullah, Suhail Bin Amar wakil Musyrikin tak setuju, (minta) jangan tulis Muhammad Rasullullah, tulis Muhammad Bin Abdullah. Kemudian perkataan Bismillahirrahmanirrahim, tak setuju. Suruh tulis Bismikallahumma (oleh) Suhail Bin Amar.

Betapa geramnya Saiyidina Umar terhadap Suhail Bin Amar ini sehingga Saiyidina Umar minta Nabi cabut giginya kerana jahat. Nabi kata jangan, mungkin akan berlaku sesuatu di akhir nanti. Apabila berlaku peristiwa riddah, bila wafatnya Nabi SAW, kabilah-kabilah Arab yang murtad, Usaid Bin Hudair, Gabenor Makkah yang tidak ada kuda menyembunyikan diri takut. Orang muda takut, dia boleh bertakbir saja menghadapi cabaran demonstrasi, tapi takut.

Suhaib Bin Amar ini, menunjukkan apa yang disebut Nabi SAW, memanggil penduduk Makkah dan menyampaikan ucapan yang tegas, “Muhammad sudah mati, Islam tidak mati, barangsiapa yang keluar daripada Islam, kita akan bertindak terhadapnya.” Menyebabkan Makkah selamat daripada murtad.

Ini sifat kemaafan, sebab Suhaib Bin Amar termasuk dalam senarai orang yang ditangkap masa Pembukaan Makkah disenaraikan dalam 15 orang atau 20 orang yang mesti ditangkap dan diserahkan, dia ditangkap dan dimaafkan oleh Nabi SAW. Rupanya ada sejarah kemudian. Inilah kerja Islam yang kita kena faham.

Perdamaian didahulukan, inilah konsep hubungan antarabangsa, hubungan .antara negara. Firman Allah Taala:

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ (62) وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (63)

“Dan jika mereka musuh, yang membuat perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepada perdamaian, dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahi. Jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka cukuplah Allah menjadi pelindungmu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya. Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfal: 61 – 63)

Peristiwa perdamaian Hudaibiyah dan pengampunan beramai-ramai ketika Fathu Makkah menjadikan penganut Islam berlipat kali ganda. Allah menjadikan iktibar Al-Quran berterusan sehingga sepanjang zaman. Quran, petunjuk Nabi adalah sepanjang zaman. Kita mesti menjadikan Quran sebagai petunjuk. Jangan kita menyempitkan rahmat Allah yang sangat luas mengurniakan hidayah-Nya. Jangan sekali-kali kita menutup pintu taubat yang dibuka Allah luasnya laksana ufuk Timur sehingga ufuk Barat. Jangan kita pandai-pandai cakap orang ini tak ada (peluang) dah sampai mati, jangan cakap begitu. Jangan cakap orang ini tak dapat hidayah, itu perkara bukan urusan kita, itu urusan Allah. Allah Taala buka pintu taubat seluas-luasnya.

Perbezaan Di Antara Wala’ Dan Tahaluf

Terdapat kekeliruan dan was-was syaitan sehingga tahaluf bertukar menjadi wala’ kepada musuh. Persefahaman dengan musuh bertukar menjadi wala’ bertuankan musuh, memberi kepercayaan kepada musuh.

عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ (7) لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9(
“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Mumtahanah: 7 – 9)

Majlis Syura Ulamak membuat keputusan hukum apabila DAP secara terbuka menentang perjuangan Negara Islam, menentang dakwah dan menentang pelaksanaan syariat. PKR pula opurtunis, wujud pula dalam saf perjuangan kalangan yang sangat mengharapkan kemenangan, sehingga menukarkan tahaluf kepada wala’. Allah memberi amaran terhadap mereka yang mengharapkan kemenangan berwala’ terhadap bukan Islam. Firman Allah Taala:
بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (138) الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا (139(
“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).” (an-Nisa’: 138 – 139)

Ayat ini jelas, menentukan perbezaan antara wala’ dengan tahaluf. Statistik politik Malaysia menunjukkan bahawa kaum Melayu Islam adalah kumpulan majoriti yang menjadi teras kekuasaan politiknya, walaupun hakikat Malaysia masyarakat majmuk yang tidak boleh dinafikan, mana-mana parti yang mendapat undi majoriti kaum teras sahaja yang menguasai politik negara. PAS wajib menerima hakikat ini, seperti Rasulullah SAW menerima hakikat, Arab Quraisy dengan petunjuk dari firman Allah Taala:

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ (214(
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (asy-Syuara’: 214)

Firman Allah Taala, memerintahkan Nabi Luth AS:

قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آوِي إِلَىٰ رُكْنٍ شَدِيدٍ (80(
“Nabi Luth berkata: “Seandainya aku mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan)”.” (Hud: 80)

Sabda Rasulullah SAW berkait dengan ayat ini:

“Rahmat Allah kepada Nabi Luth, sebenarnya dia dilindungi oleh Penolong yang kuat yakni Allah, selepasnya Allah melantik Nabi yang ada kekuatan kaumnya sendiri.”

Firman Allah,

قَالُوا يَا لُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَن يَصِلُوا إِلَيْكَ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ اللَّيْلِ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ إِلَّا امْرَأَتَكَ إِنَّهُ مُصِيبُهَا مَا أَصَابَهُمْ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ الصُّبْحُ أَلَيْسَ الصُّبْحُ بِقَرِيبٍ (81)

“Mereka berkata: “Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!” (Hud: 91)

Maka bersabda Nabi SAW:
الأئمة من قريش
“Para pemimpin hendaklah daripada Quraisy.”

Ibnu Khaldun menegaskan di dalam Muqaddimah, keperluan semangat kaum dan bangsa yang mendokong perjuangan Islam bagi kepimpinan menegakkan khilafah, bukannya assobiyah kaum yang dijadikan akidah yang mengatasi Islam. Kaum yang berpegang kepada Islam sangat penting, bukan kaum yang asabiyah lebih daripada Islam. Mesti diingat, kekuatan kaum yang pegang kepada Islam sangat penting. Dalam politik Malaysia PAS wajib menguasai undi Melayu Islam dan tanpa dinafikan perlunya undi semua kaum dalam masyarakat majmuk yang menjadi mesej dakwah.

Perlu difahami, betapa pengundi Melayu Islam terkesan daripada agenda Targhib (yakni) pembaratan dan sekularisme dalam keadaan masih ada dalam diri mereka kemanisan iman yang masih menjadi tonggak kekuatan Islam yang perlu dipelihara. Sabda Rasulullah SAW:

ثلاثٌ من كن فيه وجد بهن حلاوة الإيمان، من كان الله ورسوله أحبَّ إليه مما سواهما، وأن يحب المرء لا يحبه إلا لله، وأن يكره أن يعود في الكفر بعد أن أنقذه الله منه، كما يكره أن يقذف في النار.
“Tiga perkara, sesiapa mempunyainya akan merasai kemanisan iman ada dalam diri: Pertama, dia mengasihi Allah dan Rasul lebih daripada yang lain. Kedua dia tidak kasih kepada seseorang melainkan kerana Allah. Ketiga, dia membenci kekufuran sebagaimana benci dicampakkan ke dalam neraka.”

Sifat kebencian kepada kufur tetap wujud di dalam diri orang Melayu walaupun jahil agama termasuk yang tidak beramal dan tidak berakhlak, kalau kata kufur dia marah. Walaupun mereka melakukan perbuatan yang boleh membatalkan iman kerana kejahilannya, dia hina hukum Islam dengan macam-macam penghinaan (tapi) kalau kata dia kufur dia marah. Menandakan kemanisan iman masih ada dalam diri mereka. Adanya kebencian kepada kufur menandakan imannya tetap ada.

Dalam aspek politik, mereka sangat bencikan DAP kerana kufur dan cauvinis, walaupun ramai yang tidak sukakan Umno kerana penyakitnya yang membarah. PAS telah menerima keputusan PRU 13 yang lalu, dengan keputusan menjadi parti yang tercorot dan menumpang. Padahal, parti-parti lain banyak menumpang jentera PAS dan kekuatan di akar umbi, menyebabkan PAS dibuli oleh rakan yang tidak berbudi dan berakhlak. PAS mula tidak mendapat sokongan yang cukup kuat Melayu Islam yang menjadi teras kekuatan Islam kerana dikatakan berdamping dengan DAP. Perkara ini menghalang perjalanan PAS mencapai halatuju. Muhasabah wajib dilakukan terhadap undi Melayu Islam dan kaum bukan Islam DAP pula hanya undi bermain politik yang tidak setia kepada syarat-syarat tahaluf siyasi mengikut hukum Islam yang menjadi panduan mencapai istiqamah dan hala tuju perjuangan Islam.

PAS wajib bertegak di atas undi Melayu Islam, dalam masa sama wajib mengambil kira undi bukan Islam daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang setia dan hendaklah mencari semua pihak parti, NGO Islam dan bukan Islam yang tidak bercanggah dengan akidah, dasar dan hala tuju PAS.

PAS juga wajib mengambil kira statistik pengundi Islam yang tidak boleh berpecah. Sebarang perpecahan pengundi Islam, yang menghilangkan kuasa dan maruah Islam wajib dijauhkan dengan segala pengorbanan walaupun PAS terpaksa berjalan jauh untuk ke Putrajaya. Jangan sekali-kali kerana nak Putrajaya, tak peduli kuasa Islam hilang, tidak boleh.

Saya ingin menyebut peristiwa sejarah. Sebelum kejatuhan Andalus, Andalus sepatutnya menjadi kuasa Islam 800 tahun. Kejatuhan yang berpunca daripada Raja-Raja yang bertelagah sesama sendiri. Sebelumnya daripada jatuhnya Andalus, Raja-raja bermesyuarat, bertelagah sesama sendiri dalam mesyuarat. Ada cadangan supaya berjumpa Ibnu Abbas, seorang Raja daripada Morocco datang membantu untuk menentang kemaraan Kristian di Andalusia. Tiba-tiba ramai yang bercakap, kalau Ibnu Abbas datang nanti habislah kuasa kita, sebab dia paling kuat, kita lemah. Kalau dijemput dia datang, jatuh takhta kita. Kerana takutkan takhta, tak mahu jemput Ibnu Abbas datang.

Lalu salah seorang daripada mereka menyampaikan ucapan yang terkenal, lebih baik jemput Ibnu Abbas datang, selamatkan Islam, selamatkan Islam. Saya lebih rela menjadi gembala unta Ibnu Abbas, daripada menjadi gembala babi kepada Raja-raja Kristian.

Bila mendengar ucapan ini semuanya tersentak, Ibnu Abbas dijemput datang menyelamatkan Andalus 300 tahun lagi selepas itu. Jangan kita jadi macam sejarah ini, kerana nak memelihara menang semata-mata tanpa mengira kekuatan Islam.

Maka PAS wajib istiqamah dan terbuka menghulur tangan damai terhadap semua dan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk dengan yang paling bermusuh dengan konsep yang telah ditetapkan oleh Allah. Berdamai dan bertolong menolong dalam perkara kebajikan dan takwa dan tidak sekali-kali dalam perkara dosa dan kezaliman, ini keputusan Majlis Syura Ulamak. Serta terus memilih muwajahah silmiyyah berkonsepkan firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2(
“Bertolong menolong dalam perkara kebajikan dan takwa, dan jangan bertolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan dan bertaqwa kepada Allah.” (al-Maidah: 2)

Konsep firman Allah Taala yang disebut di atas:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (33) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (35) وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (36)
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Fussilat: 33 – 36)

Maka PAS wajib mengikut hala tuju yang ditetapkan oleh Allah bagi menegakkan Islam dan bekerjasama dengan cara yang ditunjuk oleh Allah dan sunnah dengan semua pihak yang tidak menghalang akidah, dasar dan hala tuju PAS. Para pemimpinnya yang wajib beristiqamah dan berjiwa besar memenuhi ciri parti yang menegakkan ajaran Allah hizbullah. Firman Allah Taala,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (54) إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (55) وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ(56)
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.” (al-Maidah: 54 – 56)

Sifat parti yang menegakkan ajaran agama Allah, saya sebut dua sahaja:

أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
“Merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan perkasa terhadap mereka yang menentang Islam.”

Dengan orang yang beriman merendah diri, yang menentang Islam kita perkasa. Jangan dengan orang beriman kita perkasa, yang menentang Islam kita merendah diri.

Berjihad di jalan Allah, tidak takut dengan celaan orang-orang yang mencela, terutama zaman-zaman facebook, zaman langit terbuka banyak orang cela. Kerana takut orang cela dalam facebook, kita jadi kendur untuk menyatakan Islam, ini tidak boleh. Kita wajib melakukan muhasabah.

PAS tetap teguh dan kuat kerana beristiqamah bersama Islam. Parti yang paling lama masih hidup, saingan PAS ialah Umno, kerana terus bergantung dengan kuasa pemerintahan, bukan kerana ideologi dan akidah dia. Walaupun zalim, salah urus dan salah laku, bukan yang bertindak di atas akidah perjuangan. Dihormati dengan kuasanya, bukan kerana adilnya. Parti Negara dan Semangat 46 sudah berkubur, sebahagian mereka bersama PAS, Parti Rakyat berada dalam keadaan sangat lemah. Adapun DAP dan PKR menunjukkan tanda sangat negatif terhadap akidah, dasar dan hala tuju PAS.

Barisan Nasional termasuk Umno juga berada dalam keadaan yang sangat parah. Maka PAS perlu mewujudkan gagasan baru yang boleh mencapai hala tujunya dengan siapa sahaja, dengan teguh beristiqamah dan memegang pintu damai terhadap semua khususnya pada zaman Islam Melayunya walaupun terhadap parti musuh yang zalim. Bukan meninggalkan dasar dan hala tuju perjuangan, sebaliknya percayalah kepada janji Allah, ramai yang akan menyertai PAS melalui pintu perdamaian yang terbuka. Pendekatkan muwajahah silmiyah hubungan silaturrahim, nasihat dan maaf adalah contoh terbaik daripada Rasulullah SAW. Pendekatan menutup pintu bukanlah sifat politik dakwah yang menjadi tonggak Islam. Sabda Nabi SAW:

ليس الشديد بالصرعة، إنما الشديد الذي يملك نفسه عند الغضب (متفقٌ عليه).

“Bukannya orang yang keras itu begitu hebat, sesungguhnya orang yang paling hebat ialah yang dapat mengawal diri ketika marah.”

Sabda Nabi SAW,
انصر أخاك ظالما أو مظلوما
“Tolong saudaramu yang zalim dan yang kena zalim.”

قالوا يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما
Lalu Sahabat berkata, “Ya Rasulullah, yang ini kami tolong kerana dia dizalimi, bagaimana tolong yang zalim?”

قال تأخذ فوق يديه
Jawab Rasulullah, “Halang dia daripada melakukan kezaliman.” Itu makna tolong dia.

PAS tetap bertambah berkat dan kuat kerana istiqamah bersama Islam dan pemimpinnya yang berjiwa besar, semua mereka yang tidak istiqamah, walaupun pemimpin, tetapi kerdil jiwanya dan hanyut nescaya tercicir atau gugur, walaupun bercakap besar tetapi tanpa manfaat dalam perjalanan perjuangan Islam.

Mereka yang telah mengakhiri hayat dalam perjuangan, atau yang beristiqamah dan sabar menunggu sama ada menang atau mati, tetap mendapat kemenangan. Firman Allah Taala:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23) لِّيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا (24) وَرَدَّ اللَّهُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِغَيْظِهِمْ لَمْ يَنَالُوا خَيْرًا وَكَفَى اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ الْقِتَالَ وَكَانَ اللَّهُ قَوِيًّا عَزِيزًا (25(
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab: 23 – 24)

(*Suntingan transkrip oleh Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucaptama Presiden PAS dalam Taklimat Presiden di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Gombak pada 9 Januari)

Banner Content
Tags: ,

Related Article

0 Comments

Leave a Comment