(Temuramah Mingguan Malaysia, 16 April 2017)

APRIL mungkin boleh dianggap bulan bermakna kepada DATUK SERI ABDUL HADI
AWANG. Sebagai Ahli Parlimen Marang, beliau mencatatkan sejarah apabila
membentangkan Rang Undang-undang 355 di Dewan Rakyat pada 6 April lalu,
manakala pada 11 April pula, beliau diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi
jawatan Presiden PAS.

Sememangnya kedua-dua peristiwa itu amat bererti kepada ulama berusia 70 tahun
tersebut, apatah lagi ia dicapai ketika PAS dan beliau sendiri diasak dengan pelbagai
‘serangan’ politik. Dalam wawancara secara e-mel dengan Wartawan Mingguan
Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, Presiden PAS tersebut menjawab pelbagai isu yang
melumuri parti tersebut termasuklah hubungan dengan UMNO dan Pakatan Harapan
serta Muktamar Pas Kali Ke-63 di Alor Setar, hujung bulan ini.

MINGGUAN Malaysia: Tahniah Datuk Seri atas kemenangan tanpa bertanding bagi
jawatan Presiden PAS. Apakah komen Datuk Seri berhubung kemenangan ini?

ABDUL HADI: Ini suara ahli PAS, sebelum ini saya telah maklumkan, saya serahkan
kepada ahli Pas untuk menentukan kedudukan saya dan kepemimpinan PAS. Dengan
kepercayaan ini, saya dengan penuh tanggungjawab akan menunaikan amanah ini
sebaik-baiknya, insya-Allah.

Ramai pihak berpendapat kemenangan ini menunjukkan pemimpin dan ahli PAS
tidak terpengaruh dengan pelbagai asakan yang dilihat bertujuan menggugat
kedudukan Datuk Seri sebagai Presiden, apa pandangan Datuk Seri?

ABDUL HADI: Kita ahli-ahli PAS dididik supaya menyertai PAS kerana dasar Islam yang
diperjuangkan. Maka ahli PAS memilih pimpinan yang boleh membawa dasar Islam,
tegas

mempertahankan Islam dan tak terpengaruh dengan suara luar PAS. Mereka yang cuba
ingin mengubah hala tuju perjuangan PAS akan ditolak oleh ahli PAS. Sejarah telah
membuktikan.

Adakah Datuk Seri terganggu dengan kenyataan bahawa kepemimpinan Datuk
Seri kurang berkarisma berbanding Allahyarham Tan Sri Asri Muda, Allahyarham
Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat?

ABDUL HADI: Kepemimpinan terdahulu telah berjuang sehingga ke akhir hayat mereka
bersama dengan PAS kerana mereka meyakini PAS adalah sebuah gerakah Islam, dan
mereka bekerja keras dengan kelebihan tersendiri. Saya hanya menyambung
perjuangan Islam yang pernah didokong oleh mereka yang telah lalu.
Muktamar kali ini dianggap muktamar terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-
14 diadakan, apakah yang Datuk Seri harapkan daripada perwakilan?

ABDUL HADI: Saya mengharapkan jentera PAS bekerja keras, setiap cawangan, kawasan
dan negeri berada pada tahap bersedia dengan sebarang kemungkinan. Patuh dan taat
kepada arahan pimpinan. Dekati rakyat, tidak ada jalan lain untuk selamatkan negara
ini dengan kita kembali kepada bahtera Islam.

Pada tahun lalu, ucapan dasar Datuk Seri berkisar soal mewujudkan budaya
politik matang, tahun ini apakah pula mesej yang ingin Datuk Seri sampaikan
kepada perwakilan?

ABDUL HADI: Mesej kali ini kita mahu sampaikan kepada perwakilan dan rakyat, kita
mahu selamatkan negara dengan Islam. Ini kerana, selepas terbuktinya kegagalan
agama dan ideologi lain dalam menyelesaikan masalah ekonomi, politik dan moral, kini
sudah tiba masanya Islam diberi peluang untuk menyelesaikan masalah negara. Kita
mahu tukar sistem yang sedia ada dengan sistem Islam, tidak cukup sekadar tukar
individu semata-mata.

Budaya politik matang yang Datuk Seri kemukakan dilihat sesetengah pihak
hanya merugikan perjalanan politik Pas kerana berpandangan ia akan
menjejaskan usaha Pas untuk menggantikan UMNO, apa pendapat Datuk Seri?

ABDUL HADI: Mesej PAS adalah menyelamatkan manusia bersama Islam, maka konsep
Dakwah Bil Hikmah yang mengutamakan damai atau disebut Muwajahah Silmiyyah
hendaklah diutamakan. Nabi Muhammad SAW sudah bagi panduan untuk memerintah
negara. Apabila Raja Habsyah, Raja Oman, Raja Bahrain dan ketua-ketua kaum
menerima Islam, mereka semua dikekalkan di tempat masing-masing. Namun kalau ada
yang menolak, maka diturunkan daripada jawatannya dan digantikan dengan mereka
yang beriman dan bertakwa bersama Islam.

Datuk Seri sudah membuat keputusan bahawa PAS tidak akan bersama dengan
Pakatan Harapan kerana tidak mahu menjalin hubungan dengan DAP dan PAN,
tetapi ramai yang tertanya-tanya soal hubungan PAS dengan PKR kerana PKR
juga adalah komponen dalam Pakatan Harapan?

ABDUL HADI: Tunggu Muktamar Pas Ke-63 nanti.

Ketika ini desakan di peringkat kawasan semakin ketara menggesa PAS supaya
memutuskan hubungan dengan PKR, pada pandangan Datuk Seri kenapakah
desakan itu wujud?

ABDUL HADI: Kita pimpinan Pusat akan dengar dulu pandangan ahli, dan kita akan
bawa suara mereka untuk dibincangkan di peringkat kepemimpinan parti.
Ramai meramalkan PAS akan kalah teruk jika bertanding sendirian dalam PRU-
14 nanti. Ini berikutan perpecahan yang berlaku dalam PAS sehingga
tertubuhnya PAN, adakah Datuk Seri tidak bimbang dengan pandangan ini?

ABDUL HADI: Keahlian PAS meningkat setiap bulan, PAS semakin kuat. Pimpinan dan
ahli bersatu dan jelas matlamat yang hendak dibawa. Kita ada kekuatan akar umbi yang
tidak dimiliki oleh parti pembangkang yang lain. Kita ada strategi tersendiri. Kita yakin
masa depan cerah untuk PAS dalam PRU-14.

Apa yang nyata ialah dalaman PAS semakin kuat dengan gerombolan kemasukan semua
kalangan termasuk profesional dan agamawan, rakyat dan sebagainya ke dalam PAS.
PAS tidak berpecah daripada muktamar lalu, apa yang berlaku ialah ada pihak yang
kecewa dan mereka ini memisahkan diri daripada PAS kerana gagal mengubah dasar
dan kaedah mengikut selera mereka. Apa yang berlaku ialah dasar perjuangan PAS yang
tetap kekal hingga kini.

PAN cuba meraih undidengan terus memperalatkan nama Allahyarham Datuk
Nik Abdul Aziz dan DAP pula membandingkan Allahyarham dengan
kepemimpinan Datuk Seri, persoalannya kenapakah mereka berbuat demikian?

ABDUL HADI: Sekiranya sesuatu pihak itu kuat dan mampu berdikari, tentunya mereka
tidak akan mempergunakan tokoh yang tetap istiqamah bersama PAS hingga akhir
hayatnya. Nampaknya mereka tak boleh berdiri atas kaki sendiri sehingga terpaksa
menggunakan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk menghalalkan tindakan mereka.
Apatah lagi kita melihat mereka telah menjadi jurucakap kepada pihak yang keras dan
kasar terhadap pelaksanaan syiar Islam dalam negara ini. Lihat dan telitilah balik
kenyataan Allahyarham Nik Aziz yang keras terhadap DAP apabila mereka menentang
apa yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Hakikatnya ialah
Allahyarhamlah yang memberikan sokongan dan dokongan yang kuat kepada saya
semasa saya menjadi Presiden PAS selama ini.

DAP nampaknya terus melakukan serangan ke atas PAS, pada pandangan Datuk
Seri kenapakah mereka berterusan berbuat demikian sedangkan PAS bukan lagi
berada dalam pakatan pembangkang dan tidak juga menjadi sekutu UMNO?

ABDUL HADI: Kerana PAS tidak berkompromi soal kepentingan Islam. DAP sedar PAS
menjadi penghalang utama kerakusan mereka yang mahu memerintah Malaysia atau
mahu suara mereka kuat dan mampu menundukkan pihak lain. Ini bukti PAS tak pernah
tunduk kepada sesiapa, sama ada DAP atau UMNO. PAS ada jati diri Islam.

Apakah pandangan Datuk Seri mengenai kewujudan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia, apakah kesannya kepada kuasa politik orang Melayu memandangkan
penubuhan sebuah lagi parti akan memecahkan lagi undi orang Melayu?

ABDUL HADI : Kuasa politik orang Melayu ada pada PAS dan UMNO. Jika mana-mana
parti nak tadbir Malaysia, pilih PAS atau UMNO. Kita terbuka kepada mana-mana parti
nak bersama dengan PAS, syaratnya terima Islam.

Apakah perasaan Datuk Seri sebagai Presiden PAS apabila impian untuk
membentangkan Rang Undang-Undang 355 akhirnya tercapai?

ABDUL HADI: Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan usaha
sedikit ini untuk mengusahakan cadangan memperkasa beberapa aspek perundangan
untuk Mahkamah Syariah di negara kita. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan yang
memberi laluan, kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, kakitangan kerajaan, para
peguam, ahli akademik dan seluruh rakyat yang bertungkus lumus berusaha dan
mendoakan usaha murni ini. Ia adalah usaha bersama semua pihak yang cintakan
agama dan penghayatan agama dalam kehidupan mereka.
Walaupun pelbagai penjelasan diberikan termasuklah menegaskan berkali-kali
bahawa RUU355 itu bukan hukum hudud dan khususnya untuk orang Islam,
tetapi DAP, PKR dan PAN tetap menentangnya, apa komen Datuk Seri?

ABDUL HADI: Sudah berkali-kali saya menjelaskan dalam ucapan dan penulisan saya
bahawa cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan hudud, tetapi nampaknya ada lagi
individu dan parti-parti politik tertentu dalam negara ini yang tidak cuba memahami,
atau buat-buat tak faham, atau sengaja tidak mahu faham. Sepatutnya baca dan lihatlah
dengan mata hati yang murni dan tenang. Kita mendapat maklumat, mereka takut
sekiranya syariat Islam diperkasakan, orang bukan Islam akan melihat kebaikan ini.
Satu lagi tuduhan yang dilemparkan kepada PAS ialah langkah kerajaan
membenarkan Datuk Seri membentangkan Rang Undang-undang ini hanya akan
memecah belahkan orang Islam, apa pendapat Datuk Seri?

ABDUL HADI: Orang Islam akanbersatu dengan berpegang kepada ajaran Islam, orang
Islam akan berpecah apabila meninggalkan Islam. Kita lihat melalui RUU355 berlakunya
kesatuan umat Islam, orang PAS sokong, orang UMNO sokong, NGO-NGO Islam pun
sokong. Kita juga dapati rakyat yang cintakan agama berterusan menyokongnya.

Sejauh manakah hubungan PAS dengan UMNO memandangkan walaupun pihak
kerajaan tidak membentang Rang Undangundang tetapi laluan tetap diberikan
kepada Datuk Seri untuk membentangkannya dan ada yang melihat PAS dan
UMNO mempunyai pakatan sulit. Adakah pandangan ini benar?

ABDUL HADI: Kerjasama PAS dengan UMNO atas dasar ta’awun, bekerjasama dalam
perkara kebaikan dan tidak bekerjasama dalam perkara kejahatan. PAS bersama UMNO
dalam isu RUU355, Rohingya tetapi PAS menentang UMNO dalam isu TPPA, GST dan
Akta 164. Ini kematangan PAS dalam berpolitik. Kita bukan berperang 24 jam, ada masa
kita bekerjasama untuk kebaikan Islam dan rakyat. Kita ingin menawarkan politik yang
lebih harmoni ke dalam masyarakat kerana politiking melampau dan adu domba tidak
ada kebaikan untuk negara. Kita ingin membawa rakyat keluar daripada masalah,
bukannya memberi masalah baharu kepada rakyat.

Apakah mesej yang Datuk Seri ingin sampaikan kepada seluruh ahli PAS dalam
berhadapan dengan cabaran politik masa kini?

ABDUL HADI: Istiqamah bersama Islam, sejahterakan negara dengan Islam.

Banner Content
Tags: ,

Related Article

No Related Article

0 Comments

Leave a Comment