Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua dan ahli Yang Berhormat.

Saya mohon untuk menyambung serta menghuraikan usul yang telah saya
bentangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 49 (1) yang dibaca bersama Peraturan
Mesyuarat 28, Peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat di persidangan Dewan
Rakyat pada 24 November 2016 yang lalu di dewan yang mulia ini.
Saya berdiri pada hari ini sebagai anggota Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat,
dalam ruang lingkup tugas saya untuk membawa suatu Rang Undang-undang Ahli
Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) (Pindaan) 2016, yang dibenarkan.

Pertama-tamanya, izinkan saya, di dalam Dewan Parlimen yang mulia ini,
mengucapkan Syukur Alhamdulillah ke Hadhrat Allah SWT dan terima kasih kepada
semua yang telah mengizinkan kita membentangkan Usul Rang Undang-Undang
(RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) buat kali ketiga bagi
meminda Akta 355 sedia ada – iaitu suatu akta yang mengawal Bidang Kuasa
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) untuk Mahkamah Syariah di dalam
Negeri-Negeri di Malaysia. Akta asal ini telah diluluskan 52 tahun yang lalu pada
tahun 1965 dan hanya dipinda 33 tahun yang lalu pada tahun 1984.

Usul pindaan ini, yang telah saya kemukakan buat pertama kalinya pada 26 Mei
2016 di dalam Dewan yang mulia ini, BUKANLAH bertujuan untuk mewujudkan
undang-undang baru sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah
pihak selama ini tetapi lebih kepada tujuan untuk meminda sebuah Undang-Undang
Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan batas hukuman
sedia ada yang terkandung dalam Akta 355 berkenaan yang telah dipinda pada
tahun 1984, daripada had maksimum 3 tahun penjara atau denda tidak melebihi
RM5,000 atau maksimum enam sebatan kepada maksimum 30 tahun penjara,
denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan syar’iyy sebanyak 100 kali rotan.

Tan Sri Yang di-Pertua,
Kita ingin menegaskan bahawa Usul Pindaan RUU Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) ini hanya terpakai kepada orang-orang Islam di dalam negara ini
dan TIDAK TERPAKAI kepada golongan bukan Islam sebagaimana dalam Akta
asalnya dan sejarah sudah membuktikan bahawa sejak Akta 355 ini diluluskan 52
tahun yang lalu belum pernah ada seorang bukan Islam yang didakwa kesalahannya
di bawah mana-mana Mahkamah Syariah Negeri-Negeri di bawah Undang-Undang
Jenayah Syariah Negeri-Negeri yang diwujudkan daripada Akta induk ini. Oleh hal

yang demikian, kita memohon Yang Berhormat dan seluruh rakyat bukan
beragama Islam tidak perlu berasa bimbang akan implikasi cadangan pindaan ini
kerana tiada seorang warga bukan Islam yang akan disabitkan atas apa-apa
kesalahan jenayah syar’iyy di bahawa Akta 355 ini.

Usul ini membabitkan sebuah Akta peringkat Persekutuan dan ini bermakna ia
masih tertakluk kepada persetujuan pemakaiannys kepada Negeri-Negeri kerana ia
di bawah Perlembagaan Persekutuan, segala urusan agama Islam dan pelaksanaan
hukuman di bawah Mahkamah Syariah terletak bawah kuasa Negeri-Negeri di
bawah kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertua Agong dan DYMM Sultan-
Sultan dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Negeri.
Apa perlunya Akta 355 ini dipinda? Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965, iaitu Akta 355, adalah untuk memperkasakan
Mahkamah Syariah pada masa sekarang bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah
ialah sangat terbatas.
Mengikut Perlembagaan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidang kuasa
mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberikan oleh Undang-undang
Persekutuan.
Mengikut Muslim Court Criminal Jurisdiction Act 1965, Mahkamah Syariah hanya
diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak
lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya. Bidang kuasa itu
telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah
Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan
penjara tidak lebih 3 tahun atau dengan tidak lebih RM5,000 atau sebat tidak lebih 6
sebat atau gabungan hukuman itu. Bidang kuasa ini masih rendah daripada Majistret
Kelas Satu yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan
penjara 10 tahun dan boleh menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara atau denda
RM10, 000 atau sebat 12 pukulan atau gabungannya.

Batas hukuman itu juga amat jauh ketinggalan berbanding hukuman kesalahan
dalam Mahkamah Sivil sedia ada yang menjadi undang-undang teras negara kita.
Sebagai contoh, bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta Hidupan Liar, undang-
undang sivil boleh memperuntukkan denda sehingga RM50,000 ke atas seseorang
yang didapati bersalah memelihara burung tertentu sedangkan kesalahan syariah
seperti mengajar ajaran sesat yang berjaya menyelewengkan ‘aqidah atau
memurtadkan sebegitu ramai pengikutnya yang beragama Islam di negara ini, jika
disabitkan kesalahannya, hanya boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000.
Apakah demikian rendahnya nilai harga sebuah ‘aqidah Muslim? Tergamakkah kita
membiarkan Agama Allah dimartabatkan sedemikian rendah di negara kita yang

memperuntukkan agama Islam selaku agama negara di bawah Perkara 3 (1)
Perlembagaan Persekutuan?
Begitu juga, seorang suami Muslim yang tidak bertanggungjawab terhadap isteri dan
anak-anaknya, meninggalkan mereka bertahun-tahun lamanya berfoya-foya di luar
tanpa memberikan nafkah ke atas isteri dan anak-anaknya, apabila didakwa oleh
isteri dan disabitkan kesalahan di Mahkamah Syariah, akan mudah membayar
denda tidak melebihi RM5, 000 berbanding puluhan ribu atau mungkin mencecah
ratusan ribu ringgit berbanding kesalahan yang hampir sama keadaannya di
Mahkamah Sivil. Di manakah kaum wanita Islam akan memperolehi keadilan dan
pembelaan sewajarnya dalam sebuah negara yang ditadbir oleh orang-orang Islam
dalam keadaan mereka dianiaya sebegitu rupa kecualilah jika batas hukuman yang
lebih tegas dikenakan di bawah Akta 355 sedia ada?

Sesungguhnya, apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman
maksimum kepada paras hukuman yang hampir atau sepadan dengan hukum
syarak Islam yang memang sudah termaktub di dalam sumber-sumber hukum di
bawah panduan Al-Qur’an, Hadith Nabi SAW, Ijma’ dan qiyas para ulamak.
Kita sedia maklum, Tuan Yang di-Pertua bahawa Undang-Undang Sivil yang
diperbuat di bawah kuasa Perlembagaan negara yang diwarisi daripada
Suruhanjaya Reid warisan British yang terpakai sehingga ke hari ini menjadi
undang-undang rasmi negara di mana Perlembagaan Persekutuan adalah Undang-
Undang tertinggi. Namun kita ingin mengingatkan semua Ahli Dewan yang mulia ini
juga bahawa di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang sama juga,
“Islam adalah Agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.
Dalam hal ini, tidakkah Ahli-Ahli Yang Berhormat terfikir bagaimana rakyat beragama
Islam di dalam negara sebenarnya seakan-akan dilarang, tidak dapat mengamalkan
agamanya sendiri dengan sepenuhnya dengan pembelaan yang dijanjikan oleh
Islam, dalam keadaan mereka yang bukan Islam telah mengganggu hak orang Islam
mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah syariat hukuman yang
terkandung di dalamnya?

Kita juga mendengar kuat suara membantah pindaan Akta 355 ini dengan alasan
bahawa pindaan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Tuan Yang
di-Pertua, kita ingin bertanya kepada semua Yang Berhormat di dalam dewan yang
mulia ini, bagaimana mungkin cadangan pindaan batas hukuman ditingkatkan ini
bertentangan dengan Perlembagaan Negara sedangkan tiada apa-apa cadangan
merubah konsep dan kandungan Akta 355 yang asal. Jika tiada perubahan isi dan
kandungan pindaan kesalahan jenayah syariah yang baru, sudah tentu Mahkamah
di Negeri-Negeri akan mengekalkan semua isi dan bentuk hukuman sedia ada. Ini
bermakna tiada peruntukan baru dikuatkuasakan yang memungkinkan peruntukan
tambahan diwujudkan dan bertentangan dengan Perlemnbagaan Persekutuan.

Kita juga ingin mengingatkan bahawa jika Usul pindaan Akta 355 ini diterima dan
diluluskan, semua Ahli-ahli Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai
waktu dan kesempatan seluas-luasnya untuk membahaskan pemakaian batas-batas
hukuman baru yang diluluskan itu untuk setiap kesalahan jenayah syariah di negeri
sedia ada. Di sinilah sepatutnya Ahli-Ahli DUN nanti menggunakan kebijaksaaan
masing-masing selaku Wakil Lantikan Negeri-Negeri membahaskan isi dan bentuk
hukuman kesalahan syariah untuk dilaksanakan oleh Mahkamah-Mahkamah
Syariah.
Oleh yang demikian janganlah kedengaran lagi bahawa cadangan pindaan Akta 355
ini merupakan “pintu belakang” ke arah pelaksaaan hukuman hudud di Malaysia
kerana untuk melaksanakan Undang-Undang menyamai hukum Hudud dalam
Syariah di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian
dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan sudah tentulah ia perkara yang sukar
untuk dilakukan. Ini adalah kerana penggunaan Akta 355 hanya terhad kepada
bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang
disenaraikan dalam Butiran 1, Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,
Pindaan Akta 355 ini tidak memungkinkan undang-undang jenayah seperti mencuri,
merompak, merogol, bunuh dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang wujud
dalam Kanun Keseksaan atau Penal Code) terletak di bawah kuasa Persekutuan
dan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil di mana kuatkuasa bidang penguasa
seperti polis, penjara juga terletak di bawah kuasa Persekutuan (Federal List). Selain
daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga
perlu diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-
undang Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan. Ini diikuti
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang juga perlu dipinda supaya tidak timbul
isu diskriminasi, ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang
dibezakan peruntukan undang-undang kerana berbeza agama.
Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak
yang merupakan bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU 355 hanya
melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah
Negeri-Negeri.
Kita ingin mengingatkan bahawa dalam negara berbilang kaum dan penganut
agama seperti Malaysia, perkembangan politik negara yang berkait rapat dengan hal
ehwal keagamaan perlu ditangani dengan matang. Namun sikap sekelompok ahli

politik sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam yang menentang
penambahbaikan sistem kehakiman Syariah Negara amatlah dikesali. Penentangan
mereka terhadap pindaan Akta 355 ini adalah petanda buruk kepada kematangan
politik perpaduan di dalam negara.

Ahli-ahli Dewan Rakyat bukan Islam tidak berhak untuk menolak penambahbaikan
kepada Mahkamah Syariah hanya atas dasar mereka bukan Islam. Mereka perlu
sedar yang mereka juga bertanggungjawab kepada sekelompok masyarakat
Islam yang mereka wakili. Mereka langsung tidak mengorbankan hak peribadi atau
hak kelompok bukan Islam yang mereka wakili. Pindaan ini hanya demi kepentingan
masyarakat Islam yang mereka wakili. Jika kepentingan sedemikian yang begitu
didambakan oleh masyarakat Islam tidak dapat ditunaikan, apakah yang boleh
diharapkan daripada mereka jika hak dan kepentingan umat Islam itu bercanggah
dengan kepentingan peribadi mereka?

Kepimpinan politik di peringkat Negeri perlu menyedari bahawa autonomi sebenar
yang akan dinikmati hasil daripada pindaan akta 355 itu nanti adalah Kerajaan
Negeri. Hanya Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan perkenan Ketua Agama
Negeri iaitu DYMM SPB Yang DiPertuan Agong (bagi Wilayah Persekutuan), DYMM
Sultan/Raja (bagi Negeri-Negeri) yang berkuasa untuk memutuskan sama ada untuk
menaikkan kadar hukuman yang diperuntukkan dalam Enakmen-Enakmen Syariah
Negeri. Akta 355 yang berada di bawah kuasa Parlimen hanya berfungsi
menetapkan hukuman maksimum yang boleh digubal oleh Dewan-dewan Undangan
Negeri.

Kita ingin mengulangi bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah terhad setakat
kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Butiran 1, Senarai Negeri,
Perlembagaan Persekutuan. Malah Mahkamah Syariah tiada bidangkuasa ke
atas bukan Islam. Hatta jika berlaku persetubuhan antara Islam dan bukan Islam,
hanya yang Islam sahaja yang boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Sebaliknya jika
seorang Islam merogol bukan Islam, siasatan dan pendakwaan bagi kes itu hanya
boleh dilakukan oleh polis di bawah kesalahan Kanun Keseksaan.
Rang Undang-undang 355 bertujuan memperkenalkan prinsip, konsep dan sistem
kehakiman Islam, juga memperkenalkan konsep dan cara hukuman Islam yang
berbeza dengan yang lain kerana tujuannya mendidik penjenayah dan masyarakat
bukannya menyeksa. Di mana kehakiman Islam berdasarkan kepada dua prinsip;
beriman kepada Allah, beriman kepada Hari Akhirat dan dua konsep; taqwa dan adil
terhadap semua.

Beriman kepada Allah dan Hari Akhirat merupakan rukun iman bagi seorang Islam
yang menjadi hakim dan kerja-kerja melibatkan mahkamah.
Firman Allah Taala:

﴿ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا
رَأۡفَةٞ فِي دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ ﴾ [النور: 2]
“Penzina perempuan dan penzina lelaki hendaklah disebat sebanyak 100 sebatan.
Jangan kamu kesian terhadap mereka dalam perkara hukum Allah jika kamu
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat” [An-Nur: 2]
Menunjukkan betapa kehakiman Islam berkait dengan beriman kepada Allah dan
Hari Akhirat.
Konsep taqwa dan adil terhadap semua ini merupakan konsep yang wajib kepada
orang Islam.
﴿وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ ﴾ [المائدة:
8]
“Jangan disebabkan kamu bermusuh dengan sesuatu kaum (menyebabkan) kamu
tidak berlaku adil terhadap kaum. Adil lebih hampir kepada taqwa”. [Al-Maidah: 8]
Dengan makna terhadap musuh Islam, kita wajib berlaku adil. Kita mengangap
rakyat Malaysia bukan Islam itu bukan musuh, mereka adalah sahabat-sahabat kita.
Kalau dengan musuh, Islam mewajibkan orang Islam berlaku adil dan ini sifat taqwa,
apalagi rakyat, warganegara yang dianggap sebagai saudara dan anggota
masyarakat. Ini perlu menghilangkan kebimbangan.

Yang kedua, hukuman dera dalam Islam adalah hukuman mendidik bukan
menyeksa. Sebatan dalam Islam berbeza sebatan dalam undang-undang sivil.
Sebatan dalam Islam disebut dalam kitab-kitab fiqh semua mazhab mesti dengan
alat sebat yang sederhana, yang tidak berat dan tidak ringan, tidak boleh
mengangkat lebih tinggi daripada kepala, tidak boleh mengoyakkan kulit, tidak boleh
mencederakan dengan tujuan untuk memalukan bukan untuk menyeksa. Ini sebatan
dalam Islam, bunyinya seratus, bunyinya dua puluh tetapi berbeza dengan sebatan
undang-undang sivil. Bahkan disebut dalam hadis Nabi SAW apabila dimaklumkan
orang yang melakukan kesalahan 100 sebat itu seorang yang kurus, kalau dipukul
terkena tulangnya. Lalu Nabi menyebut, gunakan 100 batang ranting dan pukul 1
kali sahaja. Ini sebatan Islam yang perlu diperkenalkan kepada umum yang berbeza
dengan hukuman sebat mengikut hukum sivil yang ada pada hari ini.
Kesimpulan, terlalu amat banyak perlindungan kepada masyarakat bukan Islam
yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan hukum Islam daripada
nas Quran dan Hadis yang disebut perlindungan kepada orang bukan Islam.
Firman Allah Taala:

﴿ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ ﴾ [المائدة: 42]
“Jika sekiranya orang bukan Islam datang kepada kamu, kamu boleh bawa mereka
ke Mahkamah Islam dan kamu boleh biarkan mereka sendiri dengan mahkamah
mereka (42)” [Al-Maidah: 42]
Ini mengikut pilihan masyarakat bukan Islam itu sendiri. Ini bukan Perlembagaan
Persekutuan (tetapi) termasuk Quran sendiri menyatakan demikian.

Hanya ahli politik yang kemaruk kepada undi mereka sahaja yang hampir menjadi
hilang kewarasan mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam
untuk menolak pindaan Akta 355 ini. Kita ingin mengingatkan bukan Islam: jangan
permainkan-mainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan
di mana DYMM SPB Yang DiPertuan Agong telah mengangkat Sumpah Jawatan
akan memelihara Agama Islam selaku Agama Negara. Mendaulatkan Islam sebagai
Agama Negara menjadi cita-cita setiap warga Islam Malaysia dan PAS akan terus
membawa Obor Mendaulatkan Islam di negara ini dalam kerangka Perlembagaan
Persekutuan sedia ada.

Maka dengan ini MARANG mohon mengusulkan supaya Rang Undang-Undang
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), iaitu Akta 355 ini diterima untuk
dibahaskan sepenuhnya oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat di Dewan yang mulia ini.
Sekian, terima kasih.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi Ta’ala wabarakatuh.
Tarikh: 6 April 2017

Banner Content
Tags: , ,

Related Article

No Related Article

0 Comments

Leave a Comment