KATA Saidina Uthman Ibn Affan R.A:

إن الله يزع بالسلطان
ما لا يزع بالقرآن

Allah Taala mengizinkan sesuatu tindakan dibuat oleh pemerintah

dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran.

Menegakkan kerajaan al-Quran

Terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah
meletakkan kita dalam kumpulan Islam, yang dinamakan Parti Islam Se-
Malaysia (PAS), yang ditubuhkan oleh ulama kita pada tahun 1951 setelah
diharamkan Hizbul Muslimin, diharamkan Sarekat Islam, diharamkan
kumpulan Islam oleh penjajah, sama ada Inggeris di Malaysia ataupun
Belanda di Indonesia.

Ramai kalangan kita orang Islam yang tidak tahu bahawa ulama dan
pemimpin yang menubuhkan kumpulan Islam ini ialah untuk menghidupkan
suatu kewajipan yang besar di dalam agama Islam. Kewajipan mengadakan
kerajaan yang memerintah dengan Al-Quranul Karim yang diajar oleh Nabi
kita Muhammad S.A.W.

Kerana Nabi kita Muhammad S.A.W yang berjuang dalam masa 23 tahun,
bukan sahaja mengajar sembahyang, puasa, zakat, haji, mengucap, berzikir,
bertasbih. Mengajar semua perkara daripada halal dan haram makan minum,
membersihkan diri, kencing berak kita, sehinggalah nikah kahwin, bercerai,
berbaik semula, muamalat, berjual beli, buka tanah, sampai kepada
memerintah negara, mendirikan kerajaan.

Oleh kerana mendirikan kerajaan ini terpaksa berlawan dengan pihak yang
berkuasa, yang memerintah di zaman Nabi dan bila-bila masa sahaja yang
tidak mahu kepada Al-Quranul Karim, menyebabkan kerja ini sangat payah.
Bukan sahaja payah nak ikut, payah nak faham.

Padahal Nabi kita Muhammad S.A.W telah berhijrah daripada Makkah ke
Madinah. Nabi pergi ke Madinah bukan kerana nak pergi ke laut, Nabi nak
tanam kelapa sawit, nak tanam getah, nak berniaga. Pergi ke Madinah kerana
nak mendirikan kerajaan Islam.

Di sana ada orang Islam, ada orang kafir, orang kafir pun ada, orang Yahudi,
orang Musyrikin Arab, Kristian, semuanya ada. Ada di antara mereka yang
terima kerajaan Islam, ada di antara mereka yang menolak sehingga
berperang dengan Nabi kita Muhammad S.A.W, akhirnya mencapai
kemenangan.

Dan Allah Taala menurunkan Quran sebanyak 30 juzuk yang sangat tebal kita
baca sendiri. Dalam Quran ini semuanya ada, termasuklah undang-undang
negara, undang-undang antarabangsa, ekonomi, politik, semua ada dalam
Quran. Dan Nabi kita telah menyempurnakan ajaran Allah. Allah Taala
menyempurnakan agama Islam.

Islam memerintah 1300 tahun

Lalu Allah mematikan Nabi kita Muhammad S.A.W, diwafatkan. Bila Nabi
wafat, Nabi tidak menentukan siapa ganti dia. Maka para Sahabat R.A
bermesyuarat. Sebaik sahaja lepas sembahyang jenazah Nabi, terus pergi
mesyuarat. Hanya beberapa orang sahaja yang pergi ke kubur, Saidina Ali
anak beranak, beberapa orang sahaja yang berada di kubur.

Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Uthman, Abu Ubaidah, Sahabat-sahabat
yang besar tak ada di kubur, kerana apa? Mesyuarat! Mesyuarat untuk pilih
siapa yang ganti Nabi untuk memerintah negara.

Ada tiga calon. Orang Madinah mencalonkan Sa’ad bin Ubadah. Anak
beranak Nabi mencalonkan Saidina Ali K.W. Kalangan Quraisy Muhajirin
mencalonkan Saidina Abu Bakar R.A.

Oleh kerana Nabi bersabda:
الأئمة من قريش
"Pemimpin daripada Quraisy."

Disebut hadis ini. Sahabat Nabi bila sebut Hadis, terima hadis. Quraisy ialah
kaum yang ramai, yang paling ramai sekali, walaupun ada Ansar, ada macam-
macam puak, Quraisy adalah paling ramai sekali, maka dipilih daripada
Quraisy, Abu Bakar R.A.

Islam memerintah selama 1300 tahun, 1300 tahun. Memerintah negara
daripada atas Barat Afrika, sampai Sepanyol. Sampai Moscow di Rusia hari ini,
dekat Xinjiang, sempadan China, termasuklah Tanah Melayu ke Indonesia, di

bawah jajahan takluk Kerajaan Uthmaniyyah, Kerajaan Islam yang paling
akhir. Kerajaan Uthmaniyyah ini orang Turki. Pusatnya di Istanbul.

Musuh cari jalan jatuhkan Islam

Musuh-musuh Islam daripada Yahudi, daripada Kristian, daripada Musyrikin,
terus-menerus menyerang Islam, bukan sahaja menyerang dengan cakap,
termasuklah menyerang dengan bala tentera. Mereka mencari jalan
bagaimana nak menjatuhkan Islam.

Barangkali kita belajar di sekolah, Marco Polo, Vasco Da Gama, macam-macam
nama ini, mereka ini adalah pengembara-pengembara Barat yang menjajah
dunia sehingga mereka menemui barisan belakang dunia Islam, iaitulah Alam
Melayu, mereka tidak boleh menjatuhkan Turki. Mereka takluk negeri yang
jauh-jauh dulu.

Tahun 1511, Portugis berjaya menakluk Melaka. Jatuh Melaka, masa itu kapal
terbang tak ada, telefon tak ada, wireless tak ada, Melaka kecil sahaja. Selepas
Melaka ditakluk, mari Belanda, mari Belanda, mari Inggeris, mereka menakluk
Alam Melayu, mereka menakluk negeri-negeri di Afrika sampai ke India.

Dan ulama-ulama kita berjuang menentang penjajah bersama dengan Sultan.
Ada Sultan yang berjuang menentang penjajah, antaranya ialah Tuan Ali Haji
daripada Sulawesi, Diponegoro, Sultan Diponegoro daripada Jogja Indonesia,
Sultan Abdul Samad Selangor, Sultan Zainal Abidin, ini antara Sultan yang
menentang penjajah, yang melawan penjajah.

Sehingga mereka berusaha untuk mengambil balik Melaka, ambil balik
Melaka. Maka marilah orang-orang Jawa naik di Johor, orang Bugis daripada
Sulawesi, orang Banjar daripada Kalimantan, orang Minangkabau daripada
Sumatera, orang Aceh mari ke Tanah Melayu berjuang menentang penjajah.

Sampai hari ini ada keturunan Jawa, keturunan Bugis, keturunan Banjar, di
Johor ada, Negeri Sembilan ada, di Perak ada, Aceh banyak di Kedah. Mereka
mari di sini bukan nak tanam getah, tanah tempat dia luas, bukan nak tanam
nyior, nak ke laut ikan banyak tempat dia. Mereka mari kerana berjuang
menentang penjajah. Ini tidak diajar di sekolah, tak ada dalam buku sekolah,
tak diajar, kita tak tahu cerita ini.

Sehingga Sultan Aceh menghantar kapal pergi ke Turki di Istanbul, dibawa
rempah untuk nak hadiah kepada Khalifah Uthmaniyah di Turki. Oleh kerana
perjalanan dengan kapal layar jauh, habis pitih, jual rempah tengah jalan,
tinggal seraut tangan je, seraut tangan tinggal rempah. Ini cerita, sehingga
dibawa rempah seraut sembah ke Sultan Uthmaniyyah, sebagai hadiah.

Turki menghantar kapal mari ke Aceh, hantar kapal perang, Turki ini kuat
mari ke Aceh. Masa itu kapal layar lah, dia menghantar pakar-pakar untuk
membuat bedil, meriam ke Aceh, sampai hari ini ada keturunan Turki di Aceh.

Tetapi Turki pun kena serang, kena serang Rusia, kena serang itu. Oleh kerana
perjalanan masa itu jauh, orang Islam terlalu ramai, akhirnya 100 tahun yang
lalu, mereka telah berjaya, ringkas ceritanya menjatuhkan Kerajaan
Uthmaniyah.

Jatuh Kerajaan Uthmaniyyah ini melalui tipu daya, hasutan, dihasut Arab, biar
orang Arablah jadi khalifah pula, jangan orang Turki, orang Arab layak jadi
khalifah.

Lawrence, Lawrence ini ialah salah seorang pegawai tinggi intelligentBritish
membantu Ibnu Su’ud yang duduk di Najd, di Timur Arab Saudi hari ini, dan
McMahon Gabenor British di Mesir membantu Syarif Husain Raja Makkah,
Raja Makkah. Dicadangkan Raja Makkah ini jadi khalifah, suka nak jadi
khalifah ini, Orang Putih sokong.

Maka, Ibnu Su’ud menyerang Riyadh, ditubuhkan Kerajaan Saudi. Ketua-
ketua Kabilah menyokong untuk menentang Turki. Syarif Husain
mengisytiharkan perang ini di Makkah, start di Makkah. Dengan Makkah ini
orang Islam naik semangatlah nak jatuhkan Turki, Orang Putih bagi senjata.
Maka jatuhlah Turki.

Lepas Turki jatuh, habis negeri Islam dijajah oleh penjajah, ditakluk, tidak ada
lagi Kerajaan Islam. Dan ulama-ulama kita seluruh dunia bangkit untuk balik
semula menubuhkan kumpulan Islam ini.

Lalu ditubuhkan pertubuhan Islam di Pulau Penyengat Riau, kemudian
Sarekat Islam di Indonesia, Haji Abdul Rahman Limbong tubuh cawangan dia
di Terengganu ini, diharamkan oleh British. Hizbul Muslimin diharamkan oleh
British, sehingga tahun 1951 ditubuhkan PAS.

Oleh kerana Allah Taala jadikan tidak ada kerajaan yang kekal dalam dunia,
kerajaan akan jatuh, tak kekal. Kerajaan Islam pun jatuh, kerajaan Firaun pun
jatuh, Namrud pun jatuh, kerajaan Nabi Sulaiman pun tak selama-lama. Allah
Taala jatuhkan kerajaan dengan berlakunya peperangan, perang dunia yang
kedua antara Jepun, Jerman, Itali menentang British, Amerika, Perancis,
Negeri-Negeri Eropah.

Oleh kerana Jepun dengan Jerman kuat, British Amerika puak-puak ini
menggunakan anak-anak negeri, menggunakan anak-anak negeri jadi askar

untuk lawan Jepun, untuk lawan Jerman, orang Arab lawan Jerman, lawan
Jerman. Kita ini lawan Jepun, banyak jadi askar Melayu. Orang Putih puji kita,
melelehlah orang Melayu ini berani sangat, dia duduk di belakang, kita duduk
depan. Dia rebus kita macam ubi berlawan dengan Jepun, ramai mati ramai.

Orang Arab berlawan dengan Jerman, sehingga mereka yang mati dalam
perang dunia itu banyak orang Islam, Orang Putih tak ramai mati, berlawan
dengan Jepun. Orang Putih tukang sorak je, dia duduk di belakang, kena tipu
dia.

Melantik kerajaan adalah ujian

Mereka telah menjanjikan untuk memberi kemerdekaan selepas menang.
Maka diberi kemerdekaan. Tetapi kemerdekaan itu, negaranya bukan negara
Islam, negara mengikut cara mereka, diberi merdeka, Indonesia merdeka, kita
merdeka, semuanya merdeka.

Pemerintahannya ialah mengikut cara yang Orang Putih tinggal, tak boleh
cara Islam. Tetapi mereka membenarkan cara demokrasi, cara pilihan raya
untuk pilih kerajaan. Maka ulama kita menubuhkan PAS. PAS ditubuhkan
untuk masuk pilihan raya, untuk membolehkan kita mendirikan kerajaan.

Walaupun di Malaysia ini orang Islam 60 peratus, Cina 25 peratus je, India
dengan macam-macam hat baki, orang Islam 60 peratus. Tapi pilihan raya
kalah, kalah Islam. Pasal apa? Banyak orang Islam jahil, tak tahu bahawa
memerintah negeri cara Islam ini wajib.

Banyak orang kita ini masih lagi duduk ingat jadi Islam ini sembahyang dah,
puasa dah, pitih banyak, pergi haji umrah acap-acap kali, siapa dia
memerintah serupa dia je. Bahkan banyak kalangan kita pilihan raya ini tak
penting mana, pilihan raya tak mustahak, pilihan raya tak usah caralah. Kita
buat pilihan raya, orang lain naik. Orang lain itu siapa dia naik? Orang yang
memerintah tidak dengan cara Islam.

Naik dengan cara pilihan raya, naik dengan cara pilihan raya. Bila kita tak
terlibat dalam pilihan raya menyebabkan orang lain naik, hukum Islam tak
berjalan, dosa tak? Mereka yang terlibat itu berdosalah, yang tak terlibat itu
tak berdosa. Allah Taala tak tanya mengapa kita tak menang? Allah Taala
tanya kita buat kerja ke tak? Allah Taala jadikan kerja Islam ini kerja yang
payah.

Nabi Nuh A.S sampai 950 tahun baru menang. Nabi Musa A.S puluh-puluh
tahun baru menang. Pasal apa Allah Taala buat begitu sedangkan Allah Taala
Maha Berkuasa? Allah Taala:

 

كُنْ فَيَكُونُ

Tuhan kata "Jadi!", (maka) jadi selalu. Pasal apa Tuhan tak buat begitu? Sebab
Tuhan letak manusia di atas muka bumi ini, Tuhan letak sementara, Tuhan
nak uji manusia di atas muka bumi. Kehidupan yang sebenar selama-lama di
hari akhirat. Allah Taala uji bukan sahaja sembahyang, bukan sahaja puasa,
bukan sahaja haji, zakat, termasuklah uji melantik kerajaan yang memerintah,
Allah Taala uji.

Dengan sebab itu pada hari kiamat, Tuhan panggil manusia bukan sahaja
dengan sembahyang, bukan sahaja dengan puasa, bukan sahaja dengan haji.
Tuhan panggil dengan ketua yang dipilih dia ikut di atas dunia ini.

إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا
"Wahai tuhan kami, atas dunia dulu, kami ikut pemimpin-pemimpin kami,

mereka lah yang telah menyesatkan kami."

(al-Ahzab: 67)

Menunjukkan ini semua akan dibawa pada hari akhirat.

Pentingnya mengundi

Apa yang membimbangkan kita, 60 peratus orang Islam di negeri kita ini, 40
peratus adalah orang muda, adalah orang muda. Sebahagiannya muslimat.
Mereka merasakan tak penting, tak mahu mengundi, lak begitu sahaja. Hidup
dalam leka, sedangkan orang bukan Islam mengundi, orang Cina kerja balak di
Sarawak balik mengundi di Perak, balik mengundi orang Cina, dia 20 peratus
je. Dia duduk dalam hutan, balik mengundi. Kita tak penting mengundi ini, lak
begitu. Akhirnya kita tak mengundi, dia mengundi, dia pilih kerajaan.

Maka jadilah apa yang kita rasa pada hari ini, harga barang naik, cukai naik,
macam-macam, sedangkan Tuhan beri hasil negeri kita banyak, mengapa jadi
begini? Sebab urus tak kena, tadbir tak kena, banyak orang tak ada kerja,
tadbir tak kena. Sedangkan Tuhan jadikan manusia ini makin ramai makin nak
kepada makanan banyak, rumah banyak, kerja banyak.

Bila kerja banyak, hasilnya banyak. Ini tak, manusia banyak, jadi kerja tak
banyak, jadi begitu. Barang tak banyak menyebabkan naikkan harga barang.
Ini kerana urus tadbir tak ikut cara Islam yang kita kena sedar dan kita kena
faham.
Perubahan orang Islam-Melayu

Alhamdulillah, pada mula-mula tahun 50-an dulu, masa PAS mula-mula
berjuang, banyak kalangan orang Melayu ini, duduk kata kalau memerintah
Islam ini huru-hara, memerintah Islam ini hukum Hudud banyak orang kena
kerat tangan, banyak orang kena rejam, tak cukup batu nak rejam orang,
duduk kira itu je.

Memanglah hukum Islam ada hat itu, tapi banyak lagi hukum-hukum Islam
hat yang lain. Hukum-hukum itu nak menakutkan orang yang buat jahat, nak
takutkan orang mencuri, nak jatuh hukum payah, tapi orang yang mencuri
takut. Nak jatuh hukum kena saksinya, kena banyak keterangan dia, tapi
menyebabkan orang gerun, ini undang-undang Islam.

Puluh tahun nak bertemu kena kerat tangan payah, kerana nak jatuh hukum
payah, tapi menyebabkan orang gerun. Perompak pun takut, ini menyebabkan
gerun. Hukum Islam kena sebat 100 kali, 100 kali itu macam sebat macam
cikgu sekolah je, tapi undang-undang manusia ini 6 kali, sekali sebat nak mati.
Dengar 100 itu orang gerun.

Setelah kita menerangkan, menyebabkan peringkat awal dulu banyak orang
Islam orang Melayu ini menghina hukum Islam. Dia tak tahu color, menghina
hukum Islam ini jadi kafir, jadi murtad, tapi dah kerana dia jahil, jahil tak jadi
kafir kerana dia jahil. Kebanyakannya jahil, tak tahu dengan sebab kejahilan.

Kalau dia tahu, tak boleh. Banyak yang jahil tak tahu color. Bila kita
menerangkan batas-batas iman dan kufur, walaupun orang kita kena tangkap,
orang kita kena macam-macam, Ustaz Ibrahim Libya kena bunuh di Memali,
kita sabar, kita terus menerangkan apa dia hukum Islam.

Hari ini orang Umno pun senyap, tak bercakap dah, tak hina dah hukum Islam.
Bahkan bila kita nak bawa Undang-undang 355 di Parlimen, sebahagian besar
orang Umno dia sudah sokong, sudah sokong, tinggal belas-belas orang je
yang tidak sokong daripada 88 orang. Tetapi tak cukup, undi tak cukup lagi,
ini yang berlakunya.

Menandakan sudah berubah, perubahan sudah berlaku. Dengan sebab itu, kita
kena ramai lagi calon-calon kita yang menang ramai lagi. Bagi negeri
Terengganu, kita memerintah dua kali 1959 sekali, 1999 sekali. (Tahun) 1959,
kita menang dulu daripada Kelantan, Terengganu negeri yang pertama
menang. Dua tahun setengah je jatuh. 1999 kita memerintah pula, bila kita
memerintah, kita dulu undang-undang Islam, hapus cukai pintu, bagi tanah
sampai 60 ribu lot bagi tanah, sehingga hasil kita bertambah naik, bertambah.

Menyebabkan Kerajaan Pusat takut kerana Terengganu lebih kuat daripada
Kelantan, urus tadbir kita.

Kelantan banyak gangguan sangat. Terengganu mudah. Bila mudah, dia guling
kita tahun 2004, menyebabkan mereka guna pitih, rampas minyak, macam-
macam, padahal menyalahi peraturan, menyalahi peraturan, dia buat.
Terengganu kita boleh menang, boleh kerana kita pernah menang dan jumlah
orang Islam sangat besar, cuma nak jaga tipu dia, itu sahajalah yang kita kena
buat.

Pahala perjuangan 700 ganda

Malam ini kita rasmikan markaz kita, markaz ini adalah pusat kegiatan kita
salah satu daripada kerja jamaah, kerja jamaah yang kita beri sumbangan. Dan
kita kena sedar bahawa kerja jamaah ini kerja perjuangan Islam ini pahala dia
sangat besar. Kalau derma dekat orang, sedekah, derma ke masjid, 10 kali
ganda, derma kepada perjuangan, 700 kali ganda.

Jaga malam, berzikir, menangis, dalam masa 24 jam. Kita duduk sekejap je
dalam perjuangan, berlipat kali ganda kelebihannya. Pasal apa jadi begitu?
Sebabnya perjuangan Islam ini orang tak berapa nampak, payah orang nak
mari. Dengan sebab itulah Tuhan jadikan kelebihannya lebih besar daripada
ibadat-ibadat yang lain kerana Kerajaan Islam ini jadi payung kepada semua
amal-amal Islam yang lain.

(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong
Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Presiden PAS
sempena Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kampung Rudhua, Marang,
Terengganu pada 8 Januari 2018)

Banner Content
Tags: , , ,

Related Article

0 Comments

Leave a Comment